Abstract:
Air merupakan satu khazanah alam yang sering digunakan kerana ia merupakan sumber utama manusia 
dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa kewujudan air, manusia tidak mampu untuk bertahan lama. 
Namun, bukan sahaja ketiadaan air yang ditakuti manusia, pencemaran air juga turut dikhuatiri manusia. 
Baru‐baru ini, masalah yang dihadapi alam sekitar adalah sisa minyak daripada sisa masakan dan makanan 
yang menyebabkan pencemaran air dan bau yang berpunca dari kawasan premis makanan. Pencemaran 
sisa  minyak  ini  telah  menyebabkan  paip  tersumbat  dan  berbau  busuk.  Dalam  kajian  ini,  penggunaan 
perangkap  minyak  telah  diaplikasikan  untuk  menghalang  sisa  minyak  mengalir  ke  longkang.  Namun, 
terdapat  sesetengah  perangkap  minyak  masih  tidak  berfungsi  dengan  baik  terutamanya  di  kawasan 
premis makanan yang diselidik. Oleh itu, objektif penyelidikan ini adalah untuk merekabentuk perangkap 
minyak, mengenalpasti kebolehan kulit durian dan arang sebagai bahan dalam penapis untuk menyerap 
sisa minyak dan bau serta menganalisis keberkesanan perangkap minyak berdasarkan penilaian kualiti air. 
Metodologi  kajian  ini  terdiri  daripada  pengumpulan  kulit  durian  yang merupakan  bahan  utama  untuk 
menyerap  sisa  minyak  di  dalam  perangkap  minyak.  Saiz  perangkap  minyak  yang  digunakan  adalah 
berukuran 410mmx310mmx270mm. Kerja eksperimen yang dijalankan terdiri daripada ujian minyak dan 
gris, ujian pH meter, ujian oksigen  terlarut, dan ujian kekeruhan. Kajian masa depan disarankan untuk 
menggunakan  serbuk  fibre  kulit  durian  dengan  campuran  bahan  kimia  iaitu  asid  hidroklorik  dan  asid 
dodecylbenzene  sulphonic  kerana  cenderung  tersebar  di  permukaan  minyak,  untuk  menghilangkan 
kandungan lilin dan keupayaan penyerapan minyak akan menjadi lebih efektif.