Abstract:
Pengurusan penyelenggaraan yang berkualiti sangat penting di hospital kerana
melibatkan nyawa pesakit yang berada di hospital tersebut. Salah satu cara dalam
meningkatkan kualiti pengurusan penyelenggaraan terutamanya dalam proses
pesanan kerja yang dilakukan bagi sesuatu penyelenggaraan di hospital tersebut
adalah dengan penggunaan teknologi terkini. Teknologi terkini yang dimaksudkan
adalah teknologi sistem kod QR yang telah diperkenalkan sejak lama dahulu lagi
yang mempunyai pelbagai fungsi dan kemudahan untuk pengurusan fasiliti di
hospital. Secara amnya masalah dari segi kualiti penyelenggaraan selalu
dipertikaikan oleh pengguna dan pelanggan kerana kelewatan menyiapkan sesuatu
penyelenggaraan. Walaupun kajian mengenai penggunaan sistem kod QR untuk
kerja-kerja penyelenggaraan terutamanya dalam proses pesanan kerja sudah
meluas di negara-negara barat, namun begitu di hospital Malaysia masih
menggunakan kaedah yang lama dalam melaksanakan proses pesanan kerja. Oleh
yang demikian, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk memperkenalkan sistem
yang menggunakan teknologi terkini iaitu sistem kod QR dalam melaksanakan kerjakerja penyelenggaraan terutamanya pesanan kerja yang boleh membantu dalam
merealisasikan saranan kerajaan untuk menggunakan dasar IR 4.0. Kajian ini
menggunakan pendekatan secara Pragmatisme. Strategi kajian yang digunakan
adalah secara kaedah pencampuran. Manakala instrumen kajian yang digunakan
adalah seperti kaedah temu secara semi- struktur dan borang soal selidik. Oleh yang
demikian, teknik analisis yang bersesuaian digunakan dalam kajian ini adalah
analisis secara deskriptif seperti analisis faktor dan skor min dengan menggunakan
perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Responden telah dipilih
secara kaedah persampelan rawak iaitu pekerja-pekerja bahagian pengurusan
penyelenggaraan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Bukti mertajam seramai 159
responden. Hasil daripada dapatan kajian yang telah dilakukan menunjukkan
bahawa kajian yang dilakukan ini memberikan impak yang positif kepada
pengurusan penyelenggaraan di hospital terutamanya kepada proses pesanan kerja.